
Lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke New York bagi menghadiri sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 dibayangi oleh krisis pengasingan global serta ketegangan mendalam dengan negara-negara Barat berikutan kempen ketenteraan rejim itu di Gaza dan Lubban.
Jadual perjalanan Netanyahu kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila beliau tidak dijadualkan mengadakan sebarang pertemuan rasmi dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mahupun mana-mana pemimpin kuasa besar Barat yang lain. Beliau hanya dikhabarkan bakal mengadakan pertemuan terhad dengan beberapa pemimpin dari rantau Amerika Latin, Eropah Selatan, dan Afrika, sementara siri perbincangan yang dirancang bersama tokoh perniagaan Elon Musk turut dibatalkan.
Krisis Diplomatik dan Tindakan Sekatan Barat
Kedudukan rejim Israel di pentas antarabangsa dilaporkan semakin merosot susulan tindakan beberapa negara Barat termasuk UK, Perancis, dan Kanada yang mengiktiraf Negara Palestin serta mengenakan sekatan terhadap aktiviti penempatan haram di Tebing Barat. Sebagai tindak balas terhadap sekatan British, kerajaan Israel sebelum ini turut mengambil langkah drastik dengan menutup Konsulat UK di Baitulmaqdis Timur serta menyekat kemasukan beberapa penggubal undang-undang Britain.
Mengulas mengenai lawatan tersebut, bekas duta besar Israel, Alon Liel, menyifatkannya sebagai “lawatan yang memalukan” dan tidak pernah terjadi sebelum ini. Menurut Liel, kegagalan Netanyahu untuk mendapatkan sebarang pertemuan dengan pegawai atau ahli politik Amerika Syarikat membuktikan bahawa pemimpin rejim itu semakin terpinggir di persada antarabangsa, seolah-olah bertindak seperti individu yang tidak dialu-alukan (persona non grata) di bumi Amerika.
Sumber: TRT World