Penjajah Israel Tembak Mati Wanita Palestin, 10 Cedera dalam Serangan di Tebing Barat

Seorang wanita warga emas Palestin maut manakala 10 penduduk lain cedera selepas sekumpulan penjajah Israel bersenjata melepaskan tembakan berhampiran bandar Jericho di Tebing Barat yang diduduki, awal pagi Selasa.

Menurut Hospital Kerajaan Jericho dan laporan tempatan, kumpulan penjajah bersenjata itu bertindak mengepung rumah-rumah penduduk Palestin di kampung Al-Duyuk al-Tahta, terletak di barat Jericho, sebelum melepaskan tembakan ke arah orang awam.

Mangsa yang terkorban disahkan berusia 60 tahun, manakala seorang lelaki berusia 65 tahun adalah antara mereka yang cedera dalam serangan tersebut.

Pasukan tentera Israel turut menceroboh masuk ke kawasan berkenaan ketika kejadian tembakan itu berlangsung. Tentera Israel dalam kenyataannya mendakwa menerima laporan awal berhubung satu “percubaan serangan” di kawasan Jericho dan menyatakan butiran lanjut masih dalam semakan, selain mengerahkan anggota serta mendirikan sekatan jalan raya di sekitar lokasi kejadian.

Insiden di Jericho itu berlaku susulan satu lagi serangan pada Isnin di bandar Tuqu, tenggara Bethlehem, apabila seorang penjajah Israel merempuh dan mencederakan lapan rakyat Palestin, termasuk penduduk yang berkumpul untuk membantu mangsa pertama.

Sementara itu, Kementerian Luar Palestin mengecam sekeras-kerasnya kejadian tembakan berkenaan sebagai serangan pengganas serta menuntut pertanggungjawaban penuh dikenakan terhadap penyerang dan pihak yang melindungi mereka.

Sumber: Agensi Anadolu (Anadolu Ajansı)

↑
Exit mobile version