
Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN serta pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand menandakan dua sejarah penting yang berjaya dilakar Malaysia sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata penyertaan Timor-Leste melengkapkan keluarga Asia Tenggara yang bersatu dan berdaulat, hasil komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong kemasukan negara itu ke ASEAN menerusi latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti sejak beberapa tahun lalu.
“Penyertaan Timor-Leste bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi lambang kejayaan usaha Malaysia memperkukuh perpaduan serantau,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung hari ini.
Tunku Nashrul turut menjelaskan bahawa Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam, menjadi titik tolak penting dalam mengakhiri pertikaian antara kedua-dua negara.
“Perjanjian ini adalah hasil rundingan damai yang dimulakan oleh Perdana Menteri pada Julai lalu dan menandakan kesediaan kedua-dua pihak untuk menghentikan peperangan, membebaskan tawanan serta membenarkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan damai di lapangan,” katanya.
Mengulas perjalanan hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang berkaitan, beliau berkata tumpuan diberikan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih serta ketahanan rantaian bekalan.
Menurutnya, lima sidang utama berlangsung hari ini iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) ke-26, ASEAN+3, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia menegaskan bahawa ASEAN bukan sekadar pusat pertumbuhan, tetapi juga pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan pimpinan negara lain sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama pemimpin dan rakan dialog malam ini.
“Dengan momentum yang telah dibina, Malaysia akan terus menggalas amanah kepimpinan serantau dengan tekad memperkukuh perpaduan ASEAN serta memacu kerjasama yang memberi manfaat kepada seluruh rantau,” ujar Tunku Nashrul.
Beliau turut menyatakan bahawa hari pertama sidang semalam telah berjaya memperkukuh kerjasama strategik ASEAN dengan rakan dialog, memperluas sinergi dalam bidang perdagangan, digital, tenaga dan pembangunan mapan, serta mengangkat suara ASEAN ke tahap lebih berpengaruh di peringkat global.
Sumber: Bernama