
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan penyeludupan rokok elektronik (vape) dan cecair vape ke Thailand susulan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.
Dalam serbuan Ops Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan pada jam 1.30 tengah hari itu, sepasukan anggota Strike Force Batalion 8 PGA telah menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti haram berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan di premis tersebut telah menemukan sebanyak 2,760 unit rokok elektronik serta 1,200 unit kartrij cecair vape pelbagai perisa daripada jenama Salt Hub.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati suspek warga tempatan itu bertindak sebagai penjaga stor. Remaja berkenaan turut terlibat dalam urusan membawa masuk produk berkenaan ke pasaran negara jiran melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Serkong, Pengkalan Kubor.
“Siasatan awal mendapati produk berkenaan dipercayai diperoleh dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier.
“Hasil risikan dan pemantauan berterusan, PGA berjaya mengesan aktiviti penyimpanan produk rokok elektronik yang dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Ahmad Radzi menambah, keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM396,000. Suspek kini telah diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat yang sahih kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras sebarang kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara.
(Sumber: BERNAMA)