Piala Malaysia: Kuching City Bawa Bekalan Selesa, Jinakkan DPMM 3-1

Kuching City FC kini selangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas berjaya menumbangkan DPMM 3-1 pada aksi pertama suku akhir yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, malam tadi.

Kemenangan di tempat lawan itu memberikan kelebihan besar buat skuad The Cats sebelum melayani kunjungan lawan di gelanggang sendiri bagi aksi timbal balik nanti.

Jalan Perlawanan

Kuching City FC terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-39 menerusi pemain importnya, Jerome Mpacko Etame. Beliau bijak menyempurnakan hantaran daripada Ahmad Danial Ahmad Asri untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan sebelum tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, tuan rumah kembali bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-50 apabila hantaran pemain DPMM, Miguel Oliveira tertampan masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan Kuching City FC, James Okwuosa.

The Cats Kembali Mengganas

Tersentak dengan gol penyamaan itu, Kuching City FC kembali memperkemaskan rentak serangan. Hasilnya, pada minit ke-64, mereka kembali memimpin perlawanan menerusi situasi sepakan penjuru yang diambil oleh Petrus Shitembi. Bola tersebut gagal ditangkap kemas sebelum ditumbuk masuk oleh penjaga gol DPMM, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.

Bagi melengkapkan malam gemilang The Cats, pemain sayap Muhammad Ramadhan Saifullah Usman menyumbat gol ketiga pada minit ke-83, sekali gus mengesahkan kemenangan 3-1 buat pasukan pelawat.

Aksi Timbal Balik

Walaupun tewas, DPMM masih mempunyai baki 90 minit untuk cuba menterbalikkan kedudukan. Aksi timbal balik dijadualkan berlangsung pada 14 Februari ini di Stadium Negeri Sarawak, yang akan menentukan pasukan mana yang bakal mengisi slot ke separuh akhir.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version