Piala Sultan Azlan Shah: Belgium julang kejuaraan pertama, Malaysia tempat ke-4

Belgium mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-31 selepas menewaskan India 1-0 pada aksi final di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.

Keputusan itu mengecewakan India yang berharap menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi berprestij tersebut, kali terakhir mereka juara pada 2010. Belgium yang mencatat empat kemenangan dan satu seri di peringkat round-robin menunjukkan kelas tersendiri dengan gerakan pantas setiap pemain yang menyukarkan India.

Dalam dua suku pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi gagal menjaringkan gol. Babak ketiga menyaksikan Belgium memecah kebuntuan menerusi gol padang Thibeau Stockbroekx pada minit ke-34. Babak terakhir menyaksikan Belgium terus menekan, namun penjaga gol India, Shashikumar Mohith Honnenahalli, berjaya menyelamatkan empat pukulan sudut penalti. Keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bagi menyaksikan perlawanan akhir serta menyampaikan trofi kepada pasukan Belgium yang diketuai Arthur Van Doren.

Sementara itu, misi pasukan hoki negara untuk menamatkan kempen di tempat ketiga gagal selepas tewas 1-6 kepada New Zealand dalam aksi klasifikasi 3/4. Ketua jurulatih Malaysia, Sarjit Singh, menyifatkan kekalahan berpunca daripada dua gol awal yang dilepaskan, menyukarkan usaha pasukan untuk bangkit.

“Kita menyedari perlawanan akan menjadi sangat mencabar selepas ketinggalan tiga gol, namun pemain tetap menunjukkan komitmen tinggi dalam mencari jaringan. New Zealand bermain dengan sangat baik,” katanya.

Keputusan penuh:
Juara: Belgium
Naib Juara: India
Pemain Terbaik: Tom Boon (Belgium)
Piala Permainan Bersih: Korea Selatan
Penjaring Terbanyak: Sam Lane (New Zealand), 9 gol
Penjaga Gol Terbaik: Vincent Vanasch (Belgium)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Thibeau Stockbroekx (Belgium)

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version