PM Anwar Adakan Pertemuan Dua Hala dengan Li Qiang, Sampaikan Ucaptama pada GDTE Kelima di Hangzhou

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke China dengan mengadakan pertemuan dua hala peringkat tinggi bersama rakan sejawatnya, Li Qiang, di West Lake State Guest House, Hangzhou.

Pertemuan penting itu memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneliti projek dua hala serta meneroka kerjasama strategik di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif, sejajar dengan aspirasi membina Komuniti Strategik Malaysia-China Bertaraf Tinggi dengan Masa Depan Bersama serta inisiatif Presiden Xi Jinping.

Malaysia Sebagai Negara Tetamu Kehormat di GDTE Kelima

Sebagai kemuncak lawatan kerja tersebut, Perdana Menteri turut dijadualkan menyampaikan ucaptama pada Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou. Pada tahun ini, Malaysia diiktiraf sebagai Negara Tetamu Kehormat bersama-sama Hungary dalam penganjuran ekspo ekonomi digital utama China itu yang mengetengahkan aspek kecerdasan buatan (AI) dan kerjasama global.

Anwar juga akan merasmikan Pavilion Malaysia di GDTE yang berfungsi sebagai platform padanan perniagaan, pertukaran teknikal, serta peluasan pasaran bagi menghubungkan syarikat teknologi tempatan dengan pembeli di China dan peringkat antarabangsa.

Dalam siri lawatan kerja ini, Perdana Menteri turut diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan nilai perdagangan dua hala merekodkan AS$113.82 bilion (RM456.68 bilion) dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version