
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menyegerakan penyelesaian berhubung isu pengiktirafan kelayakan program Doktor Farmasi (PharmD) bagi lulusan Universiti Alexandria, Mesir.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa arahan tegas itu dikeluarkan demi menjaga kepentingan, kebajikan, serta masa depan para pelajar yang terlibat.
Menurut PMO, pihaknya mengambil maklum mengenai aduan yang dikemukakan oleh pelajar bidang farmasi di universiti berkenaan berhubung isu pengiktirafan kelayakan PharmD bagi tujuan pendaftaran dan amalan profesional di Malaysia.
Kenyataan itu turut memperincikan bahawa pada masa ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebenarnya tidak mempunyai sebarang halangan terhadap pengiktirafan akademik bagi program berkaitan. Walau bagaimanapun, pengiktirafan profesional untuk tujuan pendaftaran rasmi sebagai ahli farmasi masih memerlukan pertimbangan dan persetujuan daripada Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).
“Justeru, KPT dan KKM perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas selaras dengan gagasan MADANI yang menuntut keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan rakyat, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi,” jelas PMO dalam kenyataan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan seramai empat orang pelajar program berkenaan berdepan detik sukar apabila tidak dibenarkan menduduki peperiksaan ‘Poison Law’ pada tahun lepas ketika berada di tahun keempat pengajian. Sekatan tersebut dilaporkan berlaku ekoran program pengajian yang diikuti oleh mereka masih belum diiktiraf oleh LFM.
(Sumber: BERNAMA)