PM Anwar Mohon Maaf, Hargai Sokongan Warga Emas Kayuh Beca Demi Bertemu Dengannya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seorang warga emas berusia 86 tahun yang sanggup mengayuh beca sejauh hampir satu kilometer semata-mata demi menunaikan hajat isterinya untuk menemuinya secara lebih dekat.

Melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar turut menzahirkan permohonan maaf kerana tidak berkesempatan untuk bertemu dengan pasangan berkenaan ketika singgah bersarapan di sebuah kedai makan di Senggarang, Batu Pahat, Johor pada hari ini.

“Insya-Allah, kita akan berjumpa nanti. Terima kasih atas dukungan dan sokongan yang diberikan. Semoga Allah SWT mengurniakan kalian kesihatan yang baik serta mempermudah segala urusan,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu, Bernama melaporkan warga emas berkenaan, Abdul Razak Pelangga, 86, mengambil keputusan membonceng isterinya, Jamilah Samsudin, 64, dengan menaiki beca dari kediaman mereka yang terletak di Kampung Parit Bugis ke Kedai Kopi Hailam Sri Medan di pekan kecil tersebut selepas mendapat perkhabaran tentang lawatan pemimpin nombor satu negara itu sejak semalam.

Abdul Razak yang juga merupakan Imam Masjid Raudhatul Jannah Parit Bugis menyatakan bahawa walaupun beliau mempunyai pilihan lain seperti memandu kereta atau menunggang motosikal, beliau memilih untuk menggunakan beca bagi mengelakkan kesukaran mencari tempat letak kenderaan di kawasan kedai berkenaan.

Dalam rangka lawatan kerja tersebut, Anwar telah meluangkan masa selama kira-kira 50 minit untuk bersarapan pagi di kedai kopi terbabit serta menyantuni masyarakat setempat dalam Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

-Bernama

Exit mobile version