
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Perdana Menteri China, Zhu Rongji, yang meninggal dunia pada usia 97 tahun.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar menyifatkan mendiang sebagai salah seorang tokoh penting yang memacu transformasi ekonomi China, selain merupakan seorang sahabat baik beliau.
Anwar mengimbas kembali kerjasama mereka pada era 1990-an dalam memperkukuh hubungan ekonomi serta kewangan antara Malaysia dan China. Usaha yang dibina pada era tersebut terus menjadi teras utama kepada hubungan dua hala kedua-dua negara sehingga ke hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri turut mendedahkan kenangan peribadi bersama mendiang, termasuk lawatan ke tempat bersejarah seperti kampung halaman Confucius, Tai Shan, dan lokasi berkaitan Laksamana Zheng He, serta saat menerima hadiah karya klasik China yang dipilih sendiri oleh Zhu.
Mendiang Zhu Rongji pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri China dari tahun 1998 hingga 2003 dan dikenali atas pembaharuan ekonomi berorientasikan pasaran, penstrukturan semula syarikat milik kerajaan, serta peranannya menerajui kemasukan China ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Sumber: BERNAMA