
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan Kerajaan MADANI berjumlah RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi. Peruntukan itu bertujuan mendukung pengembangan dan memperkukuh penyelidikan berkaitan sumbangan tokoh ilmuwan Islam terkemuka, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.
Pengumuman berkenaan dibuat Perdana Menteri ketika merasmikan Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi yang berlangsung di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Sudah pasti secara peribadi saya amat terhutang budi kepada Al-Qaradawi sama ada dari segi idea pemikiran, dukungan moral dan persahabatan yang dibina atas asas keikhlasan. Semoga ikhtiar seperti ini akan mendapat barakah, membawa manfaat dan mencerahkan umat,” kata beliau menerusi hantaran di laman X.
Dalam hantaran sama, Anwar turut menceritakan kembali sejarah awal interaksi dan kerjasama beliau bersama Al-Qaradawi sewaktu aktif memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Beliau menyifatkan Al-Qaradawi sebagai pencetus perubahan atau zeitgeist (semangat zaman) yang melambangkan keterbukaan pemikiran serta sentiasa mendambakan pembaharuan dalam mendepani cabaran era moden.
Anwar menambah, ketika kebangkitan Islam kian mekar pada awal tahun 1980-an, Al-Qaradawi pernah mengutuskan risalah kepada kepimpinan ABIM yang menasihatkan agar pertubuhan itu mengelak daripada aliran keras dan konsisten mengamalkan pendekatan wasatiyah (kesederhanaan).
Nasihat berkenaan disifatkan beliau amat berharga dalam mengekalkan pemikiran terbuka dan bersederhana di tengah-tengah gelombang semangat keagamaan pada ketika itu.
— BERNAMA