
Polis mengesahkan menerima tiga laporan berhubung Himpunan Solidariti Justice for Zara yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata laporan berkenaan diterima hari ini susulan dakwaan seorang individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah.
“Sehubungan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak polis kini sedang mengesan seorang wanita bersama beberapa saksi lain untuk membantu siasatan.
“Siasatan akan dijalankan secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Polis mahu mendapatkan keterangan lengkap semua pihak berkaitan,” jelasnya.
Terdahulu, satu klip video berdurasi singkat memaparkan ucapan dan laungan berunsur hasutan ketika himpunan itu tular di media sosial, sekali gus menarik perhatian orang ramai.
— BERNAMA