
Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 membuka tirainya hari ini di Dataran Putrajaya, menandakan permulaan tiga hari pengisian yang dirancang untuk memberi manfaat kepada rakyat pelbagai lapisan.
Program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Pejabat Perdana Menteri, dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia, dijangka menarik lebih 300,000 pengunjung. Penganjur memberi fokus kepada aspek pengisian ilmiah, kelancaran logistik, keselamatan serta keselesaan pengunjung bagi memastikan penyertaan optimum.
Hari pembukaan menampilkan pembentangan Kurikulum Persekolahan 2027 oleh Kementerian Pendidikan serta program anjuran JAKIM seperti Battle Tarannum Qari Malaysia yang dikenali sebagai Alunan Harmoni Al Quran, Pertandingan Peragaan Busana Kanak kanak, sesi Hijrah Artis, dan acara Malaysiaku Berselawat yang dijadualkan pada jam 9 malam. Keseluruhan pengisian menonjolkan usaha memperkukuh perpaduan rakyat, memajukan pendidikan, memperkaya seni serta mengangkat syiar Islam selari dengan pencapaian pentadbiran Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun.
Selain pengisian dasar, pengunjung turut ditawarkan Jualan MADANI dengan potongan harga barangan keperluan sekolah, penukaran topi keledar secara percuma serta peluang mengikuti karnival kerjaya. Lapan zon utama disediakan, termasuk Zon G yang menawarkan pendaftaran lesen motosikal kelas B2 dan diskaun saman JPJ.
Tarikan tambahan merangkumi pameran kucing Meow Fiesta, demonstrasi pengurusan bencana oleh SMART NADMA serta demonstrasi keselamatan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.
Orang ramai digalakkan merujuk Facebook Perbadanan Putrajaya atau aplikasi Waze bagi mendapatkan maklumat penutupan jalan, selain menggunakan pengangkutan awam seperti MRT dan bas ulang alik untuk kemudahan perjalanan. Program berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.
Sumber: Bernama