
Qatar menyambut baik keputusan kerajaan Belanda dan Belgium yang mengenakan larangan import ke atas barangan dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Kementerian Luar Negeri Qatar dalam satu kenyataan rasmi menyifatkan tindakan kedua-dua negara Eropah tersebut sebagai langkah penting ke arah membendung perluasan penempatan haram rejim Israel di tanah Palestin.
Menurut kementerian itu, dasar penempatan yang dilaksanakan oleh pihak rejim merupakan satu “pelanggaran terang-terangan” terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2334, serta bentuk pencerobohan terhadap hak-hak rakyat Palestin.
Sehubungan itu, Qatar menyeru lebih banyak negara untuk mengambil langkah serupa dan menggesa masyarakat antarabangsa memenuhi tanggungjawab perundangan serta moral bagi memaksa Israel menghentikan seluruh aktiviti penempatannya.
Dalam kenyataan sama, Qatar turut menegaskan sokongan teguhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin serta memperbaharui komitmen terhadap penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin yang merdeka.
Pada Selasa, Belanda mengumumkan bakal menguatkuasakan larangan import barangan dari penempatan Israel bermula 22 September, menyusuli tindakan Belgium yang meluluskan sekatan serupa pada 18 Julai. Langkah ini mengikut jejak kelulusan parlimen Ireland pada 15 Julai serta tindakan seumpamanya oleh Sepanyol dan Slovenia.
Sumber: Anadolu Agency (AA) via TRT World