Qatar secara tegas menolak tindakan Israel yang menjadikan isu bantuan kemanusiaan sebagai alat pemerasan politik dan kini sedang giat mengadakan rundingan intensif bersama rakan strategik termasuk Mesir, Turki, dan Amerika Syarikat bagi membuka semula lintasan sempadan Rafah.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari dalam satu sidang akhbar di Doha pada Selasa menegaskan bahawa bantuan untuk kelangsungan hidup rakyat Gaza tidak sewajarnya dijadikan bahan tawar-menawar dalam sebarang pertikaian diplomatik. Beliau menjelaskan bahawa pihak Doha telah bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsa sejak permulaan gencatan senjata untuk memindahkan rundingan ke fasa kedua, namun mengakui masih terdapat banyak halangan yang perlu diatasi.
Kenyataan keras Qatar ini hadir sebagai respon langsung terhadap pendirian Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang meletakkan syarat bahawa lintasan Rafah tidak akan dibuka selagi jenazah tawanan Israel yang terakhir tidak dikembalikan dari Gaza. Laporan penyiar awam Israel, KAN turut mendedahkan bahawa Netanyahu memberi isyarat untuk menetapkan tarikh akhir kepada Hamas bagi melucutkan senjata sepenuhnya susulan rundingan di Washington.
Di bawah fasa pertama gencatan senjata yang bermula pada 10 Oktober lalu, Hamas dilaporkan telah membebaskan semua tebusan yang masih hidup dan memulangkan 28 jenazah, namun usaha mencari jenazah tawanan terakhir masih berjalan dalam keadaan sukar akibat kemusnahan infrastruktur yang meluas di wilayah tersebut.
Penutupan lintasan Rafah di bahagian Palestin sejak Mei 2024 telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza dengan pegawai kesihatan Palestin melaporkan tentera Israel terus melakukan ratusan pelanggaran gencatan senjata. Tindakan ini telah mengakibatkan 422 kematian baharu dan lebih 1,100 kecederaan sejak Oktober, menjadikan jumlah korban keseluruhan perang mencecah lebih 71,400 orang yang majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak.
Sumber: TRT World dan Agensi