
Perancis secara rasmi telah mengenakan sekatan larangan masuk ke atas Menteri Kewangan haluan kanan Israel, Bezalel Smotrich. Langkah tegas itu diambil sebagai sebahagian daripada sekatan yang diselaraskan bersama beberapa buah negara lain ekoran peningkatan keganasan oleh peneroka haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot pada Selasa memaklumkan bahawa tindakan tersebut adalah selaras dengan langkah yang diambil oleh Britain, Kanada, Australia, Norway, dan New Zealand. Sekatan ini disasarkan secara khusus kepada individu yang bertanggungjawab dalang kepada peningkatan aktiviti penempatan haram serta jenayah keganasan di Tebing Barat.
Menerusi hantaran di platform X, Barrot menjelaskan bahawa Smotrich didapati secara aktif mempromosikan pengilhakan Tebing Barat secara terbuka, selain mendesak pembinaan penempatan haram baharu, penjajahan semula wilayah Gaza, serta sengaja mengusahakan keruntuhan ekonomi Pihak Berkuasa Palestin yang membawa impak buruk kepada penduduknya.
βIni adalah satu dasar yang sama sekali tidak boleh diterima oleh majoriti masyarakat antarabangsa yang komited sepenuhnya terhadap penyelesaian dua negara,β tegas beliau.
Smotrich menjadi menganggotai kabinet kerajaan Israel yang kedua disekat oleh Perancis dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Sebelum ini, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir telah pun diharamkan masuk pada 23 Mei lalu ekoran tindakan beliau mengejek aktivis kemanusiaan flotila Gaza yang ditahan dan didera oleh tentera Israel. Selain Smotrich, Perancis turut mengharamkan empat pemimpin organisasi peneroka serta 21 peneroka haram Israel yang ganas.
Komuniti Antarabangsa Mula Ambil Tindakan
Dalam perkembangan sama, Norway mengumumkan akan melaksanakan sekatan serupa selaras dengan ketetapan Kesatuan Eropah (EU) pada 28 Mei lepas, termasuk mengenakan larangan masuk ke atas 20 peneroka ganas.
Sementara itu, United Kingdom (UK) bukan sahaja mengenakan sekatan terhadap rangkaian pembiayaan serangan peneroka, malah turut menggesa perniagaan serta rakyat British untuk menahan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti kewangan di kawasan penempatan haram Israel.
Setiausaha Luar UK, Yvette Cooper ketika berucap di parlimen menegaskan bahawa kumpulan peneroka ganas tidak sepatutnya mengaut sebarang keuntungan daripada tanah yang dirampas secara tidak sah daripada rakyat Palestin. Beliau turut menyelar sikap kerajaan Israel yang sekadar mengutuk keganasan tersebut di bibir sahaja, namun gagal menunjukkan sebarang akauntabiliti yang telus untuk menghukum pelaku.
Sebagai rekod, Smotrich dan Ben-Gvir telah pun dikenakan sekatan oleh lima buah negara tahun lalu atas dakwaan menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin, manakala Sepanyol, Slovenia, dan Ireland menjadi antara negara terbaharu yang turut mengenakan tindakan tegas serupa ke atas menteri-menteri terbabit.
(Sumber: TRT World)