Remaja Palestin autistik dizalimi dalam tahanan Israel menurut laporan

Seorang remaja Palestin berusia 14 tahun yang mengalami autisme dan kecacatan fizikal dilaporkan menjadi mangsa keganasan ketika dalam tahanan pihak berkuasa Israel, menurut laporan akhbar Haaretz pada Rabu.

Remaja itu ditahan dua minggu lalu oleh perkhidmatan keselamatan Shin Bet dan polis Israel atas dakwaan berkaitan keselamatan, namun butiran mengenai tuduhan terhadapnya tidak didedahkan. Dia merupakan penduduk kawasan tengah Israel dan ditangkap ketika berada di Tebing Barat yang diduduki semasa lawatan keluarga. Identitinya tidak didedahkan atas arahan pihak berkuasa.

Menurut ibunya, puluhan askar Israel menyerbu rumah mereka sebelum subuh ketika operasi penangkapan dijalankan. “Mereka mengacukan senapang ke arah anak-anak saya. Anak saya yang autistik itu ketakutan, tidak mampu berdiri dan hanya menggigil,” katanya.

Peguam yang mewakilinya, Jgal Dotan, memaklumkan bahawa remaja itu telah dihadapkan ke Mahkamah Juvana di Bat Yam sebanyak empat kali dan penahanannya dilanjutkan setiap kali, termasuk pada 22 Oktober lalu apabila hakim meluluskan sambungan tahanan selama seminggu lagi.

Seorang lagi peguam, Saja Misherqi Baransi daripada Jawatankuasa Awam Menentang Penyeksaan di Israel, yang melawat remaja itu baru-baru ini menggambarkan keadaannya sebagai “sangat menyedihkan.” Katanya, mangsa digari, dipukul oleh pengawal serta tahanan lain, dan dipaksa tidur di atas lantai konkrit tanpa tilam.

“Dia dibuli, lapar, kesejukan, dan tidak mempunyai sebarang privasi. Dia hanya diberi selimut nipis dan makanan yang sangat terhad,” kata Baransi.

Dotan pula menjelaskan bahawa anak guamnya mengalami kesukaran komunikasi dan disorientasi akibat keadaan kesihatannya. “Dia memberitahu saya tentang keganasan teruk oleh pengawal dan tahanan lain. Keadaan ini semakin buruk sejak sambungan tahanannya, dan kini dia mengadu lapar serta kesejukan berpanjangan,” ujarnya.

Peguam itu turut menegaskan bahawa pihak penyiasat dan pendakwaan gagal memastikan kebajikan serta keselamatan tahanan bawah umur tersebut.

Perkhidmatan Penjara Israel menafikan dakwaan berkenaan dengan alasan tahanan berkenaan ditahan mengikut perintah mahkamah dan haknya kononnya dilindungi sepenuhnya.

Menurut pertubuhan hak asasi manusia Palestin dan Israel, lebih 10,000 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak, dengan ramai dilaporkan mengalami penyeksaan, kelaparan, dan pengabaian rawatan perubatan sehingga menyebabkan kematian dalam tahanan.

Sumber: Anadolu Agency

Exit mobile version