
Isu warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini memerlukan mekanisme penguatkuasaan yang lebih holistik serta hukuman lebih berat bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan sama.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abdul Majid, mengesyorkan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat. Ini termasuk mengenakan larangan memasuki Malaysia antara lima hingga 10 tahun serta hukuman penjara terhadap pesalah.
“Kita perlu melihat mekanisme yang benar-benar berkesan untuk menghalang mereka daripada mengulangi kesalahan. Jika hanya merampas barangan, mereka boleh membawa masuk barangan lain keesokan harinya dan meneruskan aktiviti sama. Justeru, mekanisme yang dapat menghalang mereka daripada terus mengulangi kesalahan adalah amat penting,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau menambah bahawa penguatkuasaan menyeluruh perlu dilaksanakan seiring dengan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) terhadap warga asing yang dikesan berniaga tanpa permit. Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan unit khas bersepadu melibatkan agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan rondaan serta pemantauan berterusan.
Zainal Abidin turut menegaskan bahawa kegagalan membendung isu ini boleh menjejaskan ekosistem penjaja tempatan akibat penciptaan persaingan harga yang tidak sihat. Warga asing mampu menawarkan harga lebih rendah kerana mereka tidak membayar cukai, permit, atau kos pekerja seperti yang ditanggung oleh peniaga tempatan.
Tinjauan Lapangan Di Kawasan Pudu
Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar kawasan Pudu, khususnya di Jalan Silang hari ini mendapati kebanyakan premis perniagaan, termasuk gerai penjaja di tepi jalan, kini dikendalikan oleh warga asing.
Seorang pemandu teksi, Wahab Nasir, 71, mendedahkan bahawa kawasan sekitar Pudu Sentral kini sering digelar sebagai “Bangla Town” susulan lambakan premis yang dikendalikan golongan tersebut. Beliau mendakwa keadaan itu berpunca daripada tindakan segelintir pemilik premis tempatan yang menyewakan ruang niaga kepada warga asing.
“Apa yang menghairankan, walaupun kadar sewa mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, mereka masih mampu bertahan lama meskipun hanya menjual barangan pada harga murah. Mereka turut mewujudkan ekosistem perniagaan sendiri apabila kedai makan, kedai runcit dan pelanggan kebanyakannya terdiri daripada komuniti mereka,” katanya yang telah memandu teksi selama 50 tahun di ibu negara.
Seorang pekerja premis tempatan, Foh Loi Kian, 30, turut mendakwa terdapat warga asing yang menyalahgunakan lesen perniagaan milik rakyat tempatan untuk membuka gerai secara haram. Kegiatan yang dipercayai berlaku sejak sekian lama ini menjejaskan jumlah pelanggan mereka kerana warga asing menawarkan harga yang jauh lebih murah, sedangkan peniaga tempatan perlu menanggung kos operasi dan cukai yang tinggi.
Kelarrin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan kerajaan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk berniaga, termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Beliau menegaskan situasi itu bukan sahaja menjejaskan ekosistem perniagaan tempatan, malah dalam sesetengah keadaan turut mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat negara ini.
(Sumber: BERNAMA)