
Selangor FC mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN (ACC) 2025/2026 selepas terikat 1-1 dengan pasukan Filipina, Dynamic Herb Cebu, di Stadium Memorial Rizal, Manila hari ini.
Gergasi Merah memulakan perlawanan dengan tekanan positif pada babak pertama dan menguasai permainan, namun beberapa percubaan mereka gagal menemui sasaran. Benteng pertahanan Selangor diuji pada penghujung babak pertama apabila Esrom Paulos melepaskan rembatan kencang, namun penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi berjaya menyelamatkan gawang.
Selangor tewas terlebih dahulu pada minit ke-47 apabila sepakan penjuru Paulos ditanduk masuk oleh Abou Sy, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan. Bagaimanapun, Selangor menyamakan kedudukan melalui penyerang Willian Lira yang menolak masuk hantaran lintang Picha Autra untuk menewaskan penjaga gol Rami Jeridi.
Selepas itu, kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang, tetapi tiada gol tambahan berjaya dihasilkan, menjadikan perlawanan berkesudahan seri 1-1. Dengan keputusan ini, Selangor mengumpul lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri, manakala Dynamic Herb Cebu meraih mata pertama mereka dalam saingan ini.
Sumber: BERNAMA