
PUTRAJAYA – Tindakan Universal Music Malaysia menurunkan semula muzik video (MV) Dolla daripada semua platform rasmi disambut baik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.
Dalam satu kenyataan media pada Ahad, beliau memuji langkah berhemah syarikat rakaman itu sebagai cerminan kepekaan industri terhadap suara masyarakat dan nilai yang dijunjung bersama.
“Langkah ini menunjukkan keikhlasan dan tanggungjawab pihak industri seni, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta Transformasi Al-Falah yang mengutamakan keseimbangan antara kreativiti seni dan nilai murni,” kata beliau.
Beliau menekankan bahawa seni yang indah akan lebih bersinar apabila disulam dengan adab, kesantunan, nilai ketimuran dan sensitiviti terhadap perasaan masyarakat, menjadikan seni bukan sekadar hiburan tetapi juga wahana yang memuliakan budaya.
Tindakan Susulan Mengenai Pakaian Selebriti Muslim
Dalam hal ini, Dr. Mohd Na’im memaklumkan beliau telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Mufti Wilayah Persekutuan untuk mengkaji semula garis panduan sedia ada berkaitan penampilan selebriti Muslim, khususnya selepas beberapa selebriti wanita Melayu Islam dilaporkan tampil dengan pakaian yang mencolok semasa persembahan atau karya seni.
Beliau menegaskan bahawa selebriti perlu lebih berhati-hati, terutamanya dalam penampilan mereka, memandangkan mereka sering menjadi idola masyarakat, khususnya golongan muda. Penilaian ini bertujuan memastikan garis panduan berpakaian bagi artis Muslim sentiasa relevan dan memupuk kesedaran tanggungjawab sosial.
“Dengan penuh ketulusan, saya mengucapkan terima kasih kepada Universal Music Malaysia atas keterbukaan dan kerjasama mereka. Semoga langkah ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga industri hiburan untuk berkarya dengan hati yang lebih halus dan penuh tanggungjawab,” tambah beliau.