Sepanyol dan Perancis Kecam Serangan Peneroka Israel Terhadap Biarawati di Baitulmaqdis

Kerajaan Sepanyol dan Perancis menyuarakan kecaman keras terhadap tindakan seorang peneroka Israel yang menyerang seorang biarawati Katolik warga Perancis di Baitulmaqdis, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Sabtu, Kementerian Luar Sepanyol menegaskan bahawa Israel mempunyai tanggungjawab mutlak untuk menjamin keselamatan penganut agama dan menghormati kebebasan beribadat di bandar suci tersebut.

“Kerajaan Sepanyol mengutuk sekeras-kerasnya serangan serius yang dialami oleh seorang biarawati Katolik berkewarganegaraan Perancis di Baitulmaqdis. Israel mesti menjamin kebebasan beribadat, menghormati status quo di Baitulmaqdis, dan mengambil langkah-langkah konkrit bagi mencegah tindakan ganas sedemikian daripada berulang,” kata kenyataan itu.

Pihak kementerian turut menuntut agar individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan untuk dipertanggungjawabkan atas perbuatan tersebut.

“Tindakan Menjijikkan” – Perancis

Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menyifatkan serangan berkenaan sebagai sesuatu yang “menjijikkan”. Menerusi hantaran di platform X, beliau menegaskan bahawa siri serangan anti-Kristian yang semakin kerap berlaku di Tanah Suci mesti dihentikan segera dengan hukuman yang setimpal.

“Hukuman tersebut mestilah bersifat teladan (berat) supaya tindakan anti-Kristian yang semakin berleluasa di Tanah Suci ini ditamatkan. Perancis komited terhadap misi sejarahnya untuk melindungi komuniti Katolik serta tempat-tempat suci, dan kami tidak akan bertolak ansur dengan serangan sebegini dalam apa jua keadaan,” tegas Barrot.

Suspek Ditangkap

Menurut laporan pihak berkuasa, seorang lelaki Israel berusia 36 tahun telah ditangkap oleh polis Israel selepas dipercayai menyerang biarawati berkenaan di Baitulmaqdis Timur. Pihak polis menyasifikasikan serangan tersebut sebagai satu tindakan yang “bermotifkan perkauman.” Walau bagaimanapun, identiti suspek masih dirahsiakan oleh pihak polis setakat ini.

Insiden ini menambah lagi ketegangan di rantau tersebut, di mana pemimpin-pemimpin agama sebelum ini telah berulang kali memberi amaran mengenai peningkatan serangan oleh golongan pelampau terhadap penganut Kristian dan institusi keagamaan di Baitulmaqdis.


Sumber: TRT World / Reuters

Exit mobile version