
Sebuah kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan menjadi sasaran serangan dron kedua di perairan Mediterranean pada malam tadi.
Serangan itu berlaku selepas kejadian pertama yang menimpa kapal Famelia Madeira yang membawa aktivis antarabangsa Greta Thunberg dan Thiago Avila. Kapal tersebut mengalami kebakaran di dek utama, namun tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam serangan kedua ini, hanya kru penyelenggaraan yang berada di atas kapal berkenaan dan kesemuanya disahkan selamat. Selain itu, 15 lagi delegasi Malaysia di bawah panji Sumud Nusantara kini berada di daratan Tunisia untuk sesi taklimat akhir sebelum dijadualkan berlayar ke Gaza pada 10 Sept.
Rakaman video yang diperoleh menunjukkan sebuah dron tanpa lampu menjatuhkan bahan dipercayai bom api yang dibalut plastik dan dilumuri bahan bakar sehingga mencetuskan kebakaran di dek kapal. Api berjaya dipadamkan segera dan tiada kecederaan dilaporkan.
Pusat Media dan Koordinasi Krisis Malaysia Flotilla Mission turut diaktifkan di MAPIM Central Warehouse, Sepang bagi memantau perkembangan misi serta menyelaras komunikasi dengan pihak berkaitan.