Serangan Israel jejas gencatan senjata Gaza dan Tebing Barat – Ramaphosa

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, menzahirkan kebimbangan bahawa gencatan senjata di Gaza kini terancam akibat serangan berterusan Israel terhadap wilayah Palestin dan Tebing Barat yang diduduki.

“Selepas berdekad-dekad penindasan dan perampasan, rakyat Gaza kini berdepan pembunuhan beramai-ramai,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Malaya pada Isnin, di mana beliau turut menerima ijazah kedoktoran kehormat dalam bidang hubungan antarabangsa.

Ramaphosa memuji “perpaduan berprinsip” Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menghargai peranan aktif negara itu dalam mendukung kes yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AS, Türkiye, Qatar dan Mesir atas usaha mereka menguruskan gencatan senjata yang membolehkan pembebasan tahanan Palestin, pemulangan tebusan serta penyaluran semula bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kita tidak boleh berdiam diri melihat pembunuhan berpuluh ribu orang awam, pemindahan paksa, kelaparan yang disengajakan dan kemusnahan sekolah, hospital serta rumah-rumah penduduk,” tegas Ramaphosa.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa melakukan segala usaha bagi memastikan perjanjian damai yang dicapai menjadi asas kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka dan aman di sisi Israel, berpandukan sempadan 1967.

Ramaphosa turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Kumpulan Hague — sebuah gabungan negara termasuk Colombia, Bolivia, Cuba, Namibia, dan Senegal — yang menuntut kebertanggungjawaban Israel di bawah undang-undang antarabangsa.

Afrika Selatan memfailkan prosiding terhadap Israel di ICJ pada Disember 2023 atas dakwaan pelanggaran Konvensyen Genosid 1948, dan mahkamah itu sejak itu telah mengeluarkan beberapa langkah sementara yang mengarahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan serta membenarkan akses kemanusiaan ke Gaza.

Sumber: TRT World / Agensi Anadolu

Exit mobile version