
Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh manakala 14 yang lain cedera, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita pelarian, berikutan siri serangan udara, tembakan artileri, dan pencerobohan tentera Israel di Semenanjung Gaza pada Selasa.
Rangkaian serangan dron Israel menyasarkan beberapa kawasan penempatan pelarian di Bandar Gaza, termasuk sebuah bengkel di Tel al-Hawa serta bumbung bangunan Kementerian Wakaf di Zeitoun yang menempatkan warga pelarian. Serangan di Zeitoun mengorbankan seorang bapa berusia 43 tahun bersama anak lelakinya yang berumur 13 tahun.
Di wilayah selatan, tembakan tentera Israel di Khan Younis mengorbankan seorang pemuda berusia 26 tahun serta mencederakan beberapa penduduk awam di khemah pelarian Batn al-Samin dan Sekolah Mustafa Hafez. Pasukan tentera laut Israel turut melepaskan tembakan ke arah bot-bot nelayan di pelabuhan Khan Younis hingga menyebabkan dua buah bot terbakar dan seorang nelayan cedera. Manakala di kem pelarian Maghazi di tengah Gaza, kenderaan tentera Israel dilapor melancarkan pencerobohan terhad sambil meroboh dan meletupkan kediaman awam.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan bahawa sebanyak 1,615 rakyat Palestin telah terbunuh dan 5,849 lagi cedera akibat pelanggaran berterusan oleh pihak Israel sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai pada 10 Oktober 2025.
Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)