Serangan RSF paksa puluhan ribu penduduk melarikan diri dari Darfur dan Kordofan

Serangan berterusan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di wilayah Darfur Utara dan Kordofan Utara telah menyebabkan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka, menurut Suruhanjaya Bantuan Kemanusiaan Sudan.

Pesuruhjaya Salwa Adam Benia berkata pada Ahad bahawa puluhan ribu mangsa perpindahan kini mencari perlindungan di bandar Dongola di Negeri Utara dan El Obeid di Kordofan Utara, selepas pertempuran sengit yang berlaku antara tentera Sudan dan RSF sejak beberapa minggu lalu.

Dalam pertemuannya dengan Duta Turki ke Sudan, Fatih Yildiz, dan timbalan presiden Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Türkiye, Hamza Tasdelen, di Port Sudan, Benia menzahirkan penghargaan mendalam kepada Türkiye atas sokongan kemanusiaan yang berterusan terhadap rakyat Sudan.

“Bagi pihak rakyat Sudan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Türkiye dan institusinya kerana tidak berpaling pada waktu kami amat memerlukan bantuan sebenar,” katanya.

Menurut Benia, aliran pelarian meningkat setiap hari dengan kebanyakan penduduk Darfur Utara dan Kordofan Utara berpindah ke bandar Dongola. Beliau turut mendedahkan bahawa bandar El Obeid telah menerima lebih 175,000 orang pelarian dari tiga negeri Kordofan dalam tempoh sebulan lalu.

Selain itu, keluarga yang melarikan diri dari kawasan konflik turut tiba di negeri-negeri timur seperti Gadaref dan Kassala. Di Kassala sahaja, lebih daripada 3,000 orang dilaporkan tiba dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Pertempuran sengit dilaporkan berterusan di Kordofan Utara, Barat, dan Selatan antara pasukan tentera Sudan dan RSF. Konflik ini, yang bermula pada 15 April 2023, masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian walaupun pelbagai usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa telah dijalankan.

Peperangan tersebut telah meragut ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal, menjadikan krisis kemanusiaan Sudan antara yang terburuk di dunia ketika ini.

Sumber: Anadolu Agency

Exit mobile version