
Jet pejuang Israel dilapor melancarkan serangan udara ke atas sebuah gudang perubatan yang terletak bersebelahan Hospital Syahid al-Aqsa di Deir al-Balah, awal pagi Sabtu.
Serangan melampau itu memusnahkan sepenuhnya kemudahan berkenaan beserta bekalan perubatan kritikal di dalamnya, selain turut merosakkan serta membakar berpuluh-puluh khemah perlindungan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal berhampiran lokasi kejadian.
Menurut laporan agensi berita Anadolu, saksi di tempat kejadian memberitahu bahawa tentera Israel hanya mengeluarkan amaran pemindahan paksa beberapa minit sebelum serangan dilancarkan, sekali gus mencetuskan suasana panik dan ketakutan dalam kalangan pesakit, kakitangan perubatan, serta ribuan pelarian di kawasan sekeliling.
Setakat ini, tiada sebarang laporan rasmi mengenai korban jiwa dilaporkan.
Krisis Sektor Kesihatan Semakin Meruncing
Kemusnahan gudang bekalan ini memberi tamparan hebat kepada sektor kesihatan Gaza yang semangkin tenat akibat sekatan berterusan pihak Israel. Sekatan ketat yang dikenakan telah menghalang kemasukan ubat-ubatan dan peralatan perubatan penting, sekali gus menjejaskan keupayaan hospital untuk merawat mangsa cedera serta pesakit kronik.
Tindakan menceroboh dan memusnahkan infrastruktur perubatan ini berlaku di tengah-tengah pengumuman berhubung cadangan rangka kerja gencatan senjata baharu serta pelucutan senjata.
Cabul Perjanjian Gencatan Senjata
Meskipun perjanjian gencatan senjata telah dikuatkuasakan sebelum ini, rejim Israel dilihat terus melancarkan pencerobohan dan serangan harian di seluruh Gaza. Sejak pusingan gencatan senjata terakhir Oktober lalu sahaja, serangan berterusan tentera Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,209 rakyat Palestin dan mencederakan 3,943 yang lain, di mana majoritinya merupakan golongan wanita dan kanak-kanak.
Sejak konflik bermula pada Oktober 2023, kempen ketenteraan Israel dengan sokongan kuat Amerika Syarikat telah mengorbankan lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin, mencederakan lebih 174,000 orang, serta memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur asas di wilayah terkepung berkenaan.
Sumber: Agensi Berita Anadolu (AA) / TRT World