Shahmalarani sasar pertahan emas karate di Sukan SEA 2025

Atlet karate negara C. Shahmalarani bertekad mempertahankan pingat emas acara bawah 50 kilogram kumite wanita pada Sukan SEA 2025 di Thailand, yang akan membuka tirainya bulan depan.

Jaguh berusia 26 tahun itu merupakan juara bertahan selepas memenangi emas di Sukan SEA 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja. “Mempertahankan gelaran ini sangat mencabar, tetapi ia menjadi motivasi untuk mendapatkan hatrik emas di Thailand,” katanya.

Shahmalarani menegaskan tumpuan utamanya kini adalah persiapan diri sendiri tanpa menumpukan perhatian kepada pencabar lain. Sebelum Sukan SEA, beliau akan beraksi di Kejohanan Dunia di Kaherah, Mesir pada 27 Nov sebagai persiapan. “Fokus saya buat masa ini adalah Kejohanan Dunia. Selepas itu, barulah saya menumpukan perhatian kepada Sukan SEA, dan sudah pasti saya mahu mempertahankan emas di sana,” tambahnya.

Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) sebelum ini meletakkan sasaran tiga pingat emas untuk kem karate negara pada Sukan SEA 2025.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version