
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran bahawa institusi dan Sistem Beraja di negara ini akan gagal sekiranya kedudukan raja-raja boleh “ditukar mengikut bulan” dan tidak mematuhi lunas Perlembagaan serta undang-undang yang ditetapkan.
Bercakap pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia kali ke-41 di Kota Syahbandar pada Ahad, Anwar mengkritik tindakan campur tangan pihak politik yang cuba menjejaskan kestabilan institusi berkenaan apabila keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak mereka.
“Di Negeri Sembilan, orang yang bising-bising bercakap pasal Raja Melayu, tetapi bila keputusan tidak selari dengannya, mahu buang pula Raja Melayu… saya tidak boleh terima. Kita mesti ikut Perlembagaan dan undang-undang,” tegas Perdana Menteri.
“Raja mesti ikut Perlembagaan dan jangan ikut orang politik, jika tidak negeri akan rosak,” tambah beliau lagi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.
Pengesahan Kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
Isu ini timbul susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini yang mengesahkan bahawa proklamasi berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 19 April adalah tidak sah. AGC menegaskan proklamasi itu tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
AGC turut menjelaskan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai sebarang kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.
Dalam pada itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah serta Yang Dipertua DKU.
Sumber: BERNAMA