
Di sebalik runtuhan bangunan sekolah dan universiti yang menyembah bumi akibat bedilan tentera Israel, tertimbus bersama duka ialah impian dan masa depan ratusan ribu generasi muda Palestin. Kemusnahan sistem pendidikan di Gaza kini bukan lagi sekadar kerosakan infrastruktur, sebaliknya merupakan satu cubaan terancang untuk memadamkan sistem pembelajaran secara total.
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan penyelidikan akademik menyifatkan corak kemusnahan ini sebagai ‘skolastikida’ (scholasticide) – iaitu pemusnahan pendidikan secara sistematik melalui serangan ke atas institusi, infrastruktur, pelajar, pendidik, serta seluruh kehidupan intelektual sesebuah masyarakat.
Statistik menunjukkan skala kemusnahan yang amat mengerikan. Menjelang Julai 2025, sebanyak 97 peratus sekolah di Gaza dilaporkan mengalami kerosakan parah. Malah, laporan pakar PBB dan penilaian UNESCO mengesahkan kesemua 12 universiti di Gaza telah rosak atau musnah, dengan 95 peratus kampus pendidikan tinggi terjejas teruk dan tidak lagi boleh digunakan.
Kehilangan Cendekiawan Dan Ilmu Yang Tiada Ganti
Lebih daripada 68 juta tan metrik sisa runtuhan kini menutupi bumi Gaza, yang turut menyaksikan ratusan guru, profesor, dan profesor madya terkorban. Bagaimanapun, kehilangan seorang cendekiawan tidak boleh diukur sama seperti kehilangan sebuah fizikal bangunan.
Kematian mereka bermakna lenyapnya pengetahuan terkumpul selama berdekad-dekad – kuliah yang tidak akan pernah disampaikan, penyelidikan yang tidak sempat diselesaikan, serta rantaian bakal doktor, jurutera, dan penulis yang terputus sebelum sempat melangkah ke bilik darjah.
Bagi kanak-kanak Gaza, pendidikan kini hanya bergantung kepada ruang pembelajaran sementara yang serba daif di dalam khemah, pusat perlindungan, atau bangunan yang separa hancur. Istilah “sementara” juga kini menjadi hambar; bagi kebanyakan kanak-kanak ini, khemah beralaskan tanah tanpa meja dan kerusi itulah satu-satunya sekolah yang mereka kenali.
Sekatan Alat Tulis: Apabila Pensel Menjadi Bahan Rundingan
Kezaliman rejim Israel melampaui batas apabila bahan pendidikan asas turut disekat daripada memasuki Gaza selama lebih dua tahun. Sekatan tersebut tidak hanya melibatkan kelengkapan besar, tetapi merangkumi barangan sekecil pensel, buku nota, buku latihan, krayon, dan pembaris.
Situasi Terkini Kemasukan Bantuan: Pada Januari 2026, UNICEF mengumumkan bahawa ribuan set pembelajaran asas dan rekreasi akhirnya dibenarkan memasuki Gaza selepas sekatan ketat selama lebih dua tahun. Bagaimanapun, agensi berita Reuters melaporkan bahawa walaupun pensel mula dibawa masuk, buku teks pembelajaran masih dilarang sama sekali oleh pihak Israel.
Situasi ini menunjukkan bahawa isu di Gaza bukan lagi tentang kaedah pengajaran atau saiz kelas, tetapi hak asas sama ada seorang kanak-kanak berhak memiliki sebatang pensel.
Geografi Yang Kian Mengecil
Impian majoriti rakyat Palestin bukanlah untuk melarikan diri dari tanah air mereka, sebaliknya untuk kekal hidup, belajar, bekerja, dan membina masa depan di tanah sendiri. Namun, ruang untuk menjalani kehidupan biasa itu terus dirampas.
Pada akhir Mei lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa tentera rejim telah menduduki lebih 60 peratus wilayah Gaza dan mengarahkan peluasan pendudukan itu sehingga 70 peratus. Akibatnya, hampir keseluruhan populasi sekitar dua juta penduduk kini bersesak di pinggir pantai yang kecil, dengan majoritinya menjadi pelarian yang berpindah-randah berulang kali.
Dunia sering memuji “ketahanan” (resilience) rakyat Palestin. Namun, pujian itu boleh menjadi berbahaya jika ia sekadar membuatkan dunia luar mengagumi ketabahan mereka tanpa bangkit menentang kezaliman yang mendasari penderitaan itu. Tiada apa yang mengagumkan apabila seorang kanak-kanak terpaksa mengeja huruf di atas lantai tanah sebuah khemah yang panas membara ketika musim panas, dan dinaiki air ketika musim sejuk.
Pendidikan di Gaza tidak boleh menunggu sehingga perang berakhir atau sehingga fasa pembinaan semula bermula. Bagi rakyat Palestin, pendidikan adalah alat mempertahankan identiti, maruah, dan hak kewujudan mereka. Komuniti antarabangsa kini bertanggungjawab memastikan kelangsungan pendidikan mereka – demi memastikan generasi ini mampu membina semula Gaza suatu hari nanti.
Sumber: Rencana Pendapat Hani Shehada, TRT World