Suami pengasuh dipenjara 30 tahun, 13 sebatan kerana membunuh dan meliwat bayi sembilan bulan

Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah membunuh dan meliwat seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, anak asuhan isterinya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Badruldin Mohamed, 40, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada Jumaat lepas.

Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘smothering’ atau melemaskan, manakala sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan terdapat ekstrak sel sperma milik tertuduh pada dubur dan rektum mangsa.

Mohamed Badruldin didakwa membunuh bayi itu di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang antara jam 8 pagi dan 3.30 petang pada 27 April 2021.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh, serta penjara 10 tahun dan satu sebatan atas pertuduhan meliwat. Hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh tangkapan pada 29 April 2021.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala peguam Azizul Shariman mewakili tertuduh.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version