
Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, menitahkan agar Kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri melaksanakan setiap ketetapan serta rumusan yang dicapai dalam mesyuarat MKI dengan penuh kesungguhan.
Baginda menegaskan bahawa segala perakuan yang telah dirumuskan dan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja perlu disusuli dengan tindakan nyata oleh agensi bertanggungjawab bagi memastikan peranan MKI memberi nilai bermakna kepada rakyat dan negara.
Titah baginda, ketetapan yang dicapai tidak seharusnya dibiarkan tergantung tanpa tindakan susulan sehingga MKI hanya dianggap sebagai forum perbincangan semata-mata. Pelaksanaan yang berkesan bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat, malah berupaya meningkatkan imej kerajaan serta memperkukuh pemahaman dan penghormatan terhadap Islam dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Mesyuarat MKI Ke-74 yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini. Mesyuarat ini merupakan yang terakhir dipengerusikan oleh baginda dalam tempoh amanah dua tahun yang bermula sejak Mac 2024 dan akan berakhir pada 9 Mac depan.
Dalam majlis tersebut, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua jawatankuasa sokongan MKI, termasuk Jawatankuasa Muzakarah dan Kehakiman Syariah, serta merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar atas sumbangan beliau sebelum ini.
Sultan Nazrin juga mengalu-alukan pelantikan Dr. Zulkifli Hasan sebagai Menteri dan Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu ke dalam barisan keanggotaan MKI bagi meneruskan agenda pemerkasaan hal ehwal Islam negara.
Sumber: BERNAMA