
Penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine atau syabu, serta ketum kini dikesan menjadi trend baharu dan pilihan utama dalam kalangan pemandu, termasuk pemandu kenderaan perdagangan. Gejala yang dikesan sejak lima tahun kebelakangan ini nyata mengundang bahaya kerana meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, mendedahkan bahawa kebanyakan pemandu mengambil bahan terlarang tersebut atas alasan mahu mengekalkan tenaga ketika bekerja, terutama bagi tempoh masa yang panjang.
“Kebanyakan pemandu mengambil dadah untuk tenaga. Sebagai contoh, syabu antara dadah perangsang, jadi kalau mereka ambil dadah itu mereka boleh bekerja lebih masa … ketum juga sudah menjadi trend baharu, mereka ambil (air) ketum untuk kekal kuat, terutama ketika membawa kenderaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa apabila kesan khayalan dadah itu berkurangan, pemandu terbabit akan mengalami keadaan collapse (tumbang) atau tidak sedarkan diri. Malah, sewaktu berada di bawah pengaruh dadah (high), mereka gagal mengawal diri lalu mengundang kemalangan maut.
Hasil Ops Bersepadu Saring 244 Pemandu
Perkara membimbangkan ini terbukti menerusi Ops Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di seluruh negara semalam. Daripada 244 pemandu yang disaring, seramai 22 pemandu berusia antara 21 hingga 61 tahun telah ditahan.
Pecahan kes positif dadah daripada operasi tersebut melibatkan:
-
14 pemandu positif syabu.
-
6 pemandu positif ketum.
-
2 pemandu positif ganja.
Ruslin turut menambah, kadar penagihan tertinggi dikesan dalam kalangan belia dan golongan pertengahan umur berumur 19 hingga 39 tahun, iaitu merangkumi kira-kira 70 peratus. Secara keseluruhannya, trend penggunaan dadah sintetik seperti syabu, ketamin, dan ekstasi kini berada pada tahap membimbangkan apabila mencecah hampir 80 peratus.
Operasi sekatan jalan raya yang berlangsung selama 10 jam itu dijayakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama beberapa agensi termasuk AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Amaran Keras Gantung Lesen dan Tindakan Syarikat
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramly, menegaskan pihak Jabatan tidak akan berkompromi dan bakal mengambil tindakan tegas termasuk menahan lesen vokasional (PSV atau GDL) serta menggantung lesen memandu mana-mana pemandu yang didapati positif dadah.
Beliau menyatakan bahawa syarikat pengangkutan turut akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku pekerja mereka.
“Kita juga akan hantar laporan ini kepada APAD untuk tindakan selanjutnya. Kegagalan mematuhi syarat lesen atau menggajikan pemandu terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan termasuk penggantungan lesen pengendali syarikat,” jelas Aedy Fadly.
SUMBER: BERNAMA