Tahanan Palestin Kebuluran, Diabaikan di Penjara Israel

Para tahanan Palestin yang ditempatkan di penjara Israel dilaporkan terus menderita akibat krisis kekurangan bekalan makanan, pengabaian rawatan perubatan serta tahap kebersihan persekitaran yang semakin merosot.

Menurut laporan terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin, layanan serta keadaan tidak berperikemanusiaan di Penjara Ofer milik Israel telah menyumbang kepada penularan penyakit kulit yang berleluasa serta penyusutan berat badan secara mendadak dalam kalangan rakyat Palestin yang ditahan di pusat tahanan berkenaan.

Menerusi laporan yang diterbitkan pada 23 November lalu susulan lawatan rasmi salah seorang peguam suruhanjaya itu ke penjara terbabit, seorang tahanan dilaporkan telah mengalami penurunan berat badan sekitar 50 kilogram, manakala seorang lagi tahanan juvana berusia 15 tahun susut berat badan sebanyak 26 kilogram.

Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa ramai tahanan kini berada dalam keadaan terlalu lemah akibat pelbagai penyakit namun dinafikan akses kepada ubat-ubatan serta rawatan perubatan yang amat diperlukan.

Selain itu, para tahanan melaporkan mereka berdepan tindakan penyeksaan fizikal, dipaksa melutut dalam tempoh masa yang berpanjangan, menjadi sasaran serbuan sel secara berulang kali serta rampasan barangan peribadi milik mereka.

Pihak pengawal penjara juga dilaporkan sengaja membiarkan tingkap sel terbuka luas pada waktu malam bagi mendedahkan para tahanan kepada cuaca sejuk melampau, manakala tempoh masa mandi dihadkan kepada hanya 10 minit bagi keseluruhan penghuni sel dan bekalan kelengkapan kebersihan asas turut disekat.

Menurut pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, sejak Israel melancarkan perang genosid ke atas Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, para tahanan Palestin terus berdepan siri penderaan yang semakin memuncak, sekali gus menyumbang kepada kematian berpuluh-puluh rakyat Palestin ketika berada dalam tahanan rejim berkenaan.

Sumber: TRT World

↑
Exit mobile version