Taktik Licik Rejim Zionis: Israel Tukar Istilah Pelan Usir Penduduk Gaza Guna Nama ‘Pelan Pergerakan Bebas’

Pegawai politik dan keselamatan Israel dilaporkan telah menukar strategi diplomasi mereka dengan menjenamakan semula pelan pengusiran rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza. Langkah ini diambil bagi mengurangkan tentangan dan kecaman hebat daripada komuniti antarabangsa berhubung isu pemindahan paksa.

Menurut laporan saluran televisyen Israel, Channel 13, yang dipetik oleh agensi berita Anadolu (AA), istilah “penghijrahan sukarela” yang digunakan sebelum ini kini digantikan dengan nama “Pelan Pergerakan Bebas” (Free Movement Plan).

Satu arahan dalaman dilaporkan telah diedarkan kepada badan-badan berkaitan, termasuk institusi keselamatan dan agensi perisikan zionis, untuk memperkenalkan semula inisiatif berkenaan menggunakan bahasa yang dianggap ‘lebih lembut’ dan boleh diterima di peringkat antarabangsa.

Beberapa sumber diplomatik mendedahkan wujudnya keyakinan dalam kalangan pegawai Israel bahawa perubahan terminologi ini mampu mengubah pendirian negara-negara luar, sekali gus menghidupkan semula rancangan usir tersebut yang sebelum ini mengalami kegagalan.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Israel yang enggan dikenali mengakui bahawa pergerakan Hamas “masih wujud” di Gaza. Oleh itu, beliau menegaskan bahawa pihak Israel kini sedang berusaha keras untuk mendesak “sebanyak mungkin rakyat Palestin” keluar meninggalkan tanah air mereka.

Percubaan Mengusir Penduduk Melalui Darat, Laut dan Udara

Agenda pengusiran ini bukanlah perkara baharu. Pada April lalu, akhbar Israel Haaretz mendedahkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengarahkan penasihat hal ehwal antarabangsanya, Caroline Glick, untuk memajukan rancangan pemindahan tersebut. Ini termasuk mengadakan rundingan dengan wilayah pemisahan Somaliland serta Republik Demokratik Congo, namun usaha itu dilaporkan menemui jalan buntu.

Sebelum itu, pada Disember 2025, saluran Channel 12 turut melaporkan bahawa pihak keselamatan Israel pernah membentangkan pelan komprehensif kepada kabinet kerajaan untuk memindahkan keluar rakyat Palestin dari Gaza melalui laluan darat, laut, dan udara.

Meskipun Israel beria-ia membingkaikan agenda ini sebagai “penghijrahan sukarela”, tindakan tersebut terus mendapat amaran keras daripada Pihak Berkuasa Palestin, Hamas, serta negara-negara Arab yang menegaskan bahawa ia adalah satu bentuk pengusiran paksa yang menyalahi undang-undang antarabangsa.

Langkah terbaharu zionis ini dilaksanakan di tengah-tengah siri pembunuhan dan pendudukan tanah yang berterusan di seluruh Gaza, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Oktober 2025.

Sejak bermulanya serangan berskala besar rejim Israel pada Oktober 2023, kempen pembunuhan beramai-ramai ini telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 173,000 orang, serta memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.

Sumber Rujukan Berita: Agensi Anadolu (AA) / TRT World

Exit mobile version