
Tentera Lubnan mengumumkan kejayaan menyelesaikan fasa pertama proses pelucutan senjata Hizbullah di kawasan selatan Sungai Litani, selaras dengan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui. Tentera kini menguasai sepenuhnya kawasan tersebut kecuali lima titik strategik berhampiran sempadan yang masih diduduki oleh tentera Israel.
Walaupun Hizbullah—yang semakin lemah selepas perang pada November 2024—akur untuk berundur ke utara Sungai Litani, Israel tetap meneruskan operasi ketenteraan. Rejim Zionis dilaporkan melancarkan hampir 700 serangan udara dan serbuan darat sejak akhir November 2024 dengan alasan Hizbullah cuba membina semula keupayaan mereka. Serangan berterusan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 340 orang dan mencederakan lebih 940 yang lain.
Kerajaan Lubnan kini berada di bawah tekanan hebat Amerika Syarikat untuk memperluaskan pelucutan senjata ke seluruh negara. Dalam pada itu, pasukan pengaman PBB (UNIFIL) mengecam tindakan Israel menyerang anggota pengaman mereka, menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap Resolusi PBB 1701.
Sumber: TRT World & Agensi