
Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, mencatat kemenangan berharga apabila berjaya menewaskan rakan senegara, Lee Zii Jia, pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2025, hari ini.
Dalam aksi di Hong Kong Coliseum, pemain ranking ke-23 dunia itu menamatkan penantian dengan kemenangan pertama ke atas Zii Jia, 21-16, 21-16, sekali gus memadamkan rekod tiga kekalahan sebelum ini termasuk di Terbuka Artik 2023.
Zii Jia, yang kini di kedudukan ke-47 dunia, memulakan perlawanan dengan rentak agresif namun banyak kesilapan sendiri termasuk pukulan tersasar memberi peluang kepada Jun Hao menguasai set pertama.
Jun Hao terus mengekalkan disiplin permainan pada set kedua meskipun diasak lawan, sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan straight set.
Beliau akan bertemu rakan senegara Justin Hoh pada pusingan kedua selepas pemain muda itu membuat kejutan menewaskan pilihan kelapan kejohanan dari Perancis, Toma Junior Popov, 21-12, 21-17 dalam masa 43 minit.
— BERNAMA