TERBUKA JEPUN: JIMMY-SU YIN CIPTA KEJUTAN TEWASKAN PASANGAN RANKING KE-14 DUNIA

Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang menghuni ranking ke-118 dunia mencipta kejutan pada Terbuka Jepun 2026 apabila berjaya menewaskan pasangan nombor 14 dunia untuk mara ke pusingan kedua hari ini.

Gandingan negara itu menundukkan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara, menerusi kemenangan 21-19, 11-21, 21-19 dalam pertarungan sengit pusingan pertama yang berlanjutan selama satu jam.

Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti mereka di pusingan kedua apabila dijadualkan menentang pilihan keenam dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue buat julung kalinya.

Soon Huat-Shevon Ikut Jejak Langkah

Turut melangkah ke pusingan seterusnya ialah pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie. Mereka hanya mengambil masa 33 minit untuk mengenepikan cabaran wakil Amerika Syarikat, Zhi Yi Chen-Francesca Corbett dengan keputusan 21-13, 22-20. Kemenangan ini merupakan kejayaan kedua berturut-turut pasangan suami isteri itu ke atas gandingan berkenaan dalam dua pertemuan setakat ini.

Walau bagaimanapun, ujian berat menanti Soon Huat-Shevon di pusingan kedua apabila mereka dijadualkan berdepan beregu kuat China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin. Berdasarkan rekod 11 pertembungan sebelum ini, pasangan negara hanya mampu mencatatkan satu kemenangan sahaja.

Letshanaa Terkandas di Pusingan Pertama

Sementara itu, nasib berbeza menimpa kem perseorangan wanita negara apabila cabaran K. Letshanaa berakhir awal. Beliau gagal menandingi kehebatan wakil Korea Selatan, Kim Ga Eun, dan terpaksa akur dengan kekalahan 16-21, 12-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit.

Sumber Berita: BERNAMA

Exit mobile version