
Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan negara.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), keputusan tersebut diambil setelah mendapati sumbangan hasil daripada cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan, sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.
MoF menjelaskan bahawa pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek, memandangkan asas kenaan cukai berkenaan adalah kecil dan terhad di Malaysia.
Komitmen Dasar Percukaian Progresif dan Adil
Bagaimanapun, pihak kementerian menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama. Langkah ini penting bagi memastikan struktur percukaian negara kekal progresif dan lebih bersasar untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi dalam kalangan rakyat.
Kenyataan tersebut dimaklumkan oleh MoF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang rasmi Parlimen hari ini.
Pendekatan Bersasar Golongan Berkemampuan
Bagi menggantikan cukai kekayaan, MoF menyatakan bahawa pendekatan secara lebih bersasar telah pun dilaksanakan oleh kerajaan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.
Antara instrumen cukai bersasar yang telah dikuatkuasakan termasuklah:
-
Cukai Keuntungan Modal: Dikenakan bagi aktiviti pelupusan saham tidak tersenarai.
-
Cukai Dividen: Dikenakan bagi pendapatan dividen yang melebihi kadar RM100,000.
-
Cukai Agihan Keuntungan: Dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada entiti perkongsian liabiliti terhad.
Sumber Berita: BERNAMA