
Skuad bola sepak kebangsaan Iran yang bakal beraksi dalam saingan Piala Dunia dilapor telah tiba di Mexico dengan mengenakan pin khas pada pakaian mereka. Langkah tersebut diambil sebagai tanda penghormatan dan memperingati mangsa serangan maut melibatkan sebuah sekolah rendah di Minab, selatan Iran, awal tahun ini.
Ketika turun dari pesawat di Tijuana, Mexico pada Ahad, para pemain kelihatan memakai pin lapel berwarna emas yang tertera nombor “168” pada jaket masing-masing. Angka tersebut merujuk kepada jumlah keseluruhan mangsa—kebanyakannya merupakan golongan kanak-kanak—yang terkorban dalam serangan udara dilancarkan oleh pihak Amerika Syarikat (AS) pada 28 Februari lalu, yang mengenai premis sekolah berkenaan.
Kedutaan Iran di Hungary menerusi satu hantaran di media sosial pada Isnin turut mengesahkan simbolik pemakaian pin tersebut bagi memperingati tragedi di Minab itu.
Sebelum ini, barisan pemain skuad Iran pernah melakukan solidarisi serupa dengan mengangkat beg galas sekolah berwarna merah jambu dan ungu semasa lagu kebangsaan mereka dimainkan. Penghormatan itu dilakukan sebelum aksi perlawanan pemanasan badan menentang sebuah pasukan di Antalya, Türkiye, Mac lalu. Premis sekolah yang menjadi sasaran bom tersebut dilapor terletak berhampiran dengan pangkalan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Setakat ini, pihak AS mahupun Israel tidak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan udara berkenaan yang sebelum ini telah menerima kecaman hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai organisasi hak asasi manusia. Pihak tentera AS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan dan menegaskan mereka tidak pernah menyasarkan golongan awam.
Isu Visa Dan Pertukaran Kem Latihan Ke Mexico
Delegasi pasukan Iran dilapor berlepas menggunakan jet peribadi dari Antalya ke Tijuana pada Sabtu. Penerbangan itu dibuat susulan pertukaran rancangan saat akhir dua minggu lepas, di mana kem latihan pasukan dipindahkan ke Mexico berbanding lokasi asal di Tucson, Arizona, AS.
Perkembangan ini berlaku ketika Iran dijadualkan beraksi untuk kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan di venue sekitar AS. Pihak pentadbiran AS dilapor sengaja melenggahkan proses kelulusan visa bagi para pemain, selain menolak permohonan visa beberapa ahli delegasi pasukan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Pengawal Revolusi.
Buat masa ini, masih belum ada kepastian rasmi mengenai tarikh pasukan Iran akan dibenarkan masuk ke ruang sempadan AS menjelang aksi pembukaan Kumpulan menentang New Zealand yang dijadualkan berlangsung pada 15 Jun ini di Inglewood, berhampiran Los Angeles.
Mengikut jadual asal, skuad Iran akan berulang-alik ke Tijuana antara sela masa perlawanan. Selepas aksi pembukaan, mereka dijadualkan kembali ke Inglewood pada 21 Jun untuk menentang Belgium, sebelum terbang ke Seattle bagi menghadapi cabaran Mesir pada 26 Jun.
Berdasarkan struktur kejohanan, Iran dan AS berpeluang untuk bertemu dalam saingan pusingan 32 pada 3 Julai depan di Stadium Dallas Cowboys di Arlington, Texas, sekiranya kedua-dua pasukan itu berjaya menamatkan saingan di kedudukan tempat kedua dalam kumpulan masing-masing.
(Sumber: TRT World / AP)