Tiga Rakyat Palestin Terbunuh dalam Serangan Terbaharu Israel di Gaza Meskipun Gencatan Senjata

Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita, terbunuh manakala 11 yang lain cedera dalam siri tembakan dan bedilan artileri tentera Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Isnin.

Sumber perubatan mengesahkan Fida Khader Toutah, 31, maut selepas ditembak di bahagian kepala oleh kenderaan tentera Israel di timur Deir al-Balah, tengah Gaza. Di selatan Gaza, seorang kanak-kanak Palestin maut selepas ditembak di dada apabila tentera rejim melepaskan tembakan ke arah khemah pelarian di kawasan Al-Mawasi, Rafah.

Manakala di utara Gaza, Mohsen Ahmed Bahja, 24, dari Jabalia al-Nazla, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas diserang dron quadcopter Israel beberapa hari sebelum ini semasa berada di dalam khemahnya.

Bedilan Laut, Udara dan Darat Berterusan

Beberapa kawasan pelarian di tengah Gaza turut berdepan serangan bertubi-tubi. Seorang kanak-kanak dikejarkan ke Hospital Shuhada al-Aqsa selepas khemah pelarian di antara kem Al-Bureij dan Al-Maghazi ditembak. Dua lagi penduduk cedera apabila peluru artileri menghentam sebuah rumah keluarga Abu al-Rous di kem Al-Bureij sehingga mencetuskan kebakaran.

Di Khan Younis, lapan rakyat Palestin mengalami kecederaan susulan bedilan artileri dan tembakan tentera Israel yang menyasarkan kawasan perumahan Hamad City, kejiranan al-Amal, serta kawasan Al-Sinaa dan Qizan Abu Rashwan. Sementara itu di Bandar Gaza, kapal perang Israel melepaskan tembakan mesingan berat ke arah pesisir pantai selama kira-kira dua jam, diiringi serangan dron di timur Shujaiya dan bedilan artileri di timur Jabalia.

Korban Gencatan Senjata Terus Meningkat

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengesahkan bahawa pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh rejim Israel sejak Oktober 2025 telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,393 rakyat Palestin dan mencederakan 4,822 orang yang lain.

Secara keseluruhannya, jumlah angka korban sejak konflik tercetus pada Oktober 2023 kini mencecah 73,910 orang maut dan 174,935 cedera. Pihak kementerian turut memaklumkan bahawa seramai 831 mayat telah ditemui dari bawah runtuhan sejak gencatan senjata bermula, manakala sebahagian lagi mangsa masih terperangkap di kawasan yang sukar dicapai oleh pasukan penyelamat.

Sumber: TRT World dan Agensi

Exit mobile version