KUALA LUMPUR – Sememangnya tugas hakiki, Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) ialah menjaga keselamatan negara.
Namun nilai kemanusiaan juga terus dibela, apabila pada Jumaat (20/11) TUDM berjaya melaksanakan penerbangan ihsan membawa tiga bayi yang mengalami masalah jantung dari Kuching, Sarawak untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) dan juga Hospital Gleneagles, di ibu negara.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM Markas Tentera Udara Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, dua bayi perempuan dan seorang bayi lelaki diterbangkan ke ke Pangkalan Udara Subang.
“Bayi pertama perempuan bernama Eliora Mia Nawan berusia 20 hari mengalami masalah jantung Transposition Of Great Arteries akan dirawat di Hospital Gleneagles, Ampang.
“Manakala bayi kedua iaitu Marry Anne Methew Mavrick, berusia 19 hari menghadapi masalah jantung Congenital Heart Block,” kata kenyataan itu.
Tambah TUDM, pesakit ketiga adalah bayi lelaki bernama Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad berusia dua bulan.
“Bayi ini menghadapi masalah jantung Congenital Heart Disease akan dirawat di IJN.
“Kesemua bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan daripada Hospital Umum Sarawak,” kata jabatan itu lagi.
Tiga ambulans bersedia di Pangkalan Udara Subang, Selangor untuk membawa tiga bayi ke IJN dan Hospital Hospital Gleneagles.
Ketiga-tiga bayi itu diterbangkan menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang yang telah diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin.
Beliau dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi bersama dua orang Loadmaster iaitu PWU II Amran Rashid @ Jaafar dan Sarjan U Mohd Naim Kamijan serta dua orang Supplementary Crew, iaitu Koperal U Mohamad Azim Jamal dan Koperal U Harun bin Mustafa.
Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah dua orang pegawai perubatan, dua orang jururawat dan ibu kepada bayi masing-masing.
“Penerbangan ihsan ini dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dengan segera dan tertakluk kepada keadaan-keadaan tertentu terutama nasihat dari pegawai perubatan.
Tiga bayi berusia di antara 19 hari dan 2 bulan mempunyai komplikasi jantung diterbangkan oleh TUDM dari Kuching ke Subang untuk rawatan segera di IJN dan Glenagles Ampang pada Jumaat (20/10)
Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada jam 7.07 malam dan selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 8.43 malam Jumaat (20/11)
“Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial, malahan turut membuktikan bahawa TUDM sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan,” katanya.
Terdahulu, TUDM berkata, pesawat A400M ini juga turut melaksanakan penerbangan “logistic comm” membawa Tim Mobilisasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peralatan perubatan kementerian berkenaan.
Selain itu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) daripada Academy Medicine Of Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia yang dihantar ke Sabah iaitu ke Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah juga pernah menggunakan perkhidmatan pesawat terbabit.