Umat Islam Mesti Beri Teladan Cintai Ilmu, Tegakkan Keadilan dan Tegur Rasuah – Anwar

Umat Islam di Malaysia mesti menampilkan teladan yang baik dengan mencintai ilmu, menegakkan keadilan serta berani menegur amalan rasuah dan penyelewengan, termasuk apabila pelakunya cuba berselindung di sebalik nama agama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan anak muda juga perlu berani untuk bertanya serta meneliti asas setiap hujah sebelum menerima sesuatu perkara secara membuta tuli.

“Dalam wacana Dialog Nasional, saya ditanya tentang polemik agama yang memecahbelahkan masyarakat. Bagaimana rakyat dapat membezakan antara pencerahan agama dengan pandangan politik yang disampaikan seolah-olah hukum agama?

“Saya tegaskan bahawa ilmu ialah syarat pertama dalam dakwah. Saya mengenali Syeikh Yusuf al-Qaradawi sebagai seorang guru yang luas ilmunya. Saya tidak pernah mendengar beliau menghukum orang sewenang-wenangnya,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Perdana Menteri menegaskan bahawa sikap berhemah serta berteraskan ilmu sedemikian wajar diteladani, lebih-lebih lagi apabila wujud segelintir pihak yang terlalu mudah mengeluarkan hukum atau fatwa tanpa dalil yang sahih semata-mata untuk menghalalkan hala tuju politik mereka, termasuk bagi menyokong perkara yang merosakkan masyarakat.

Terdahulu pada malam kelmarin, Anwar telah menjawab pelbagai persoalan berkaitan dasar, pertimbangan serta keputusan kerajaan menerusi rancangan Dialog Negara Khas: “Di Sebalik Keputusan…” yang disiarkan secara langsung di saluran TV1 dan RTMKlik.

Program wacana khas tersebut turut disiarkan secara serentak menerusi saluran Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Sumber: BERNAMA

↑
Exit mobile version