
UMNO perlu segera menawarkan agenda baharu dan tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada naratif sejarah kegemilangan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa parti itu perlu membina pelan hala tuju yang jelas dalam tempoh 24 bulan akan datang bagi memastikan UMNO kekal relevan dan diyakini oleh pengundi masa kini.
Berucap pada perasmian serentak Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTC) malam ini, Mohamad menekankan tentang perubahan landskap pengundian. Beliau menjelaskan bahawa kira-kira 50 peratus pengundi kini terdiri daripada golongan muda berusia antara 18 hingga 35 tahun, yang tidak membesar dalam era kegemilangan Barisan Nasional (BN).
“Anak muda 25 tahun yang kerja Grab atau Foodpanda, tak leka mengenang pencapaian UMNO 40 tahun lalu. Dia mengundi atas dasar harapan tentang masa depan. Dia tanya gaji aku cukup tak? Boleh beli rumah tak? Kita mesti tawarkan penyelesaian gaji dan kerjaya. Ketengahkan rancangan Ekonomi Gig dan kebebasan bekerja,” katanya, menyorot keperluan parti memahami aspirasi golongan muda.
Selain itu, Mohamad Hasan turut menegaskan bahawa ideologi nasionalisme Melayu semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menagih sokongan pengundi dalam landskap politik semasa yang berubah. Beliau menggesa UMNO untuk mempercepatkan usaha pendigitalan parti secara menyeluruh bagi membolehkan parti berfungsi secara berkesan di persada maya.
“Mungkin telah tiba masanya kita berimaginasi bahawa UMNO itu adalah sebuah parti digital. UMNO-Digital atau e-UMNO bukan sesuatu yang mustahil dan tidak terjangkau,” tambahnya.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November lalu bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. Perhimpunan agung bagi ketiga-tiga sayap parti itu yang berlangsung esok akan melibatkan 1,165 perwakilan bagi Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 1,173 perwakilan Pemuda, dan 1,146 perwakilan Puteri UMNO.
SUMBER: BERNAMA