UMNO Terus Dukung Kerajaan Perpaduan Sehingga PRU16, Tegas Asyraf Wajdi

UMNO menegaskan komitmennya untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian tersebut adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahukan kestabilan politik negara dipelihara.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden parti yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Sambil menekankan sokongan di peringkat Persekutuan, Asyraf Wajdi bagaimanapun menjelaskan bahawa perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak mengikat kerajaan-kerajaan negeri secara automatik.

Beliau mengambil contoh Kerajaan Negeri Johor yang telah ditubuhkan lebih awal sebelum PRU15 dan tidak melibatkan parti daripada Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya, keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat sedia ada di peringkat negeri bukanlah satu bentuk pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, ia mencerminkan amalan demokrasi yang matang dan berperlembagaan dengan menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat di peringkat berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan UMNO sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat, namun kerjasama tersebut mestilah berlandaskan prinsip keikhlasan serta kepercayaan mutlak.

Sumber: Bernama

Exit mobile version