
MAPIM Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada pihak Zuspresso (M) Sdn Bhd, atau lebih dikenali dengan jenama Zus Coffee. Delegasi ini diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi mereka, Encik Venon Tian bersama wakil syarikat dan turut diiringi oleh panel syariah mereka.
Kunjungan ini diadakan bagi membincangkan usaha-usaha kemanusiaan yang mendesak, terutamanya berkaitan dengan krisis kemanusiaan di Gaza. Zuspresso telah menyatakan kecaknaan dalam isu ini dan melihat sekiranya ada peluang untuk bekerjasama dengan MAPIM, dalam usaha membantu dan meringankan beban rakyat Palestin akibat kekejaman pihak zionis.
MAPIM yakin dengan kerjasama pelbagai pihak akan dapat membawa perubahan yang signifikan. Ia bukan sahaja akan mengukuhkan usaha-usaha bantuan kemanusiaan, tetapi juga memperkuat semangat solidariti dan kebersamaan dalam membantu rakyat Gaza bagi menghadapi genosid pihak israel.
Dalam pertemuan ini juga pihak Zuspresso telah menyumbangkan sebanyak 100 ribu ringgit untuk rakyat Gaza. Selain itu mereka juga berkesempatan mendengar penerangan daripada CEO MAPIM sendiri, (Dr.) Sani Araby Al Kahery tentang inisiatif projek Bandar Wakaf Malaysia yang akan dibangunkan di Gaza.
MAPIM Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pihak untuk turut serta dalam usaha kemanusiaan ini, bagi bersama-sama, mencipta perubahan yang lebih besar dan berkesan demi masa depan yang lebih baik untuk ummah terutamanya di Gaza.
Menurut (Dr.) Sani Araby Al Kahery, CEO MAPIM Malaysia, “Genosid di Gaza berlaku di hadapan mata kita, kita lihat videonya setiap hari, kita baca beritanya setiap jam, ia adalah nyata dan kita tidak boleh duduk diam. Kita perlu bantu mereka dengan apa sahaja yang kita ada dan ini adalah tanggungjawab kita semua!”
MAPIM mengucapkan terima kasih Zuspresso (M) Sdn Bhd atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan, serta menantikan kerjasama yang lebih erat dan berterusan pada masa hadapan.