
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa kontraktor pembinaan di negeri ini meneroka penggunaan kayu sintetik sebagai sebahagian daripada usaha peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau dan strategi jangka panjang pengurusan hutan mampan. Beliau berkata bahan alternatif ini berpotensi memenuhi keperluan industri pembinaan sambil menyokong komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar.
“Jika anda memerlukan kayu untuk membina rumah, terdapat juga alternatif iaitu kayu sintetik bercampur fiber. Ini boleh digunakan sebagai pilihan dalam pembinaan,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Ladang Hutan Industri 2025 di Kuching.
Beliau menjelaskan walaupun kayu sintetik dihasilkan daripada gabungan fiber kayu dan produk kimia, ia masih mempunyai intensiti karbon lebih rendah berbanding kayu tradisional. “Memang ada sedikit pelepasan karbon, tetapi tahap pengeluaran boleh dikurangkan dan karbon masih boleh diserap melalui proses semula jadi dan kaedah saintifik termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) serta teknologi lain,” katanya.
Abang Johari menekankan bahawa strategi perhutanan Sarawak memfokuskan pemuliharaan hutan hujan semula jadi sambil memperkukuh program perladangan bagi memastikan bekalan bahan mentah yang mampan. Sarawak mengekalkan 62 peratus tanahnya sebagai kawasan berhutan, termasuk 3.95 juta hektar hutan simpan kekal dan lebih 874,000 hektar tanah serta 1.2 juta hektar kawasan marin sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya.
Beliau menegaskan bergantung sepenuhnya kepada hutan semula jadi tidak mampu memenuhi keperluan tanpa risiko kemerosotan serius, justeru ladang hutan yang diurus dengan baik penting untuk mengurangkan tekanan ke atas hutan semula jadi serta menyumbang kepada inovasi, ketahanan iklim dan pertumbuhan ekonomi. “Kita mesti melabur dalam penyelidikan untuk menanam lebih banyak pokok dalam tempoh singkat serta membina kawasan simpanan untuk menyerap karbon, sambil menghasilkan lebih banyak oksigen,” katanya.
Sumber: BERNAMA