
SEPANG: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini telah berangkat ke Turkiye bagi mengadakan lawatan negara selama tujuh hari.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 10 pagi tadi.
Turut hadir adalah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau menjelaskan lawatan negara ke Turkiye telah dijadualkan pada tahun lepas, tetapi telah ditangguh berikutan penularan wabak COVID-19.
“Lawatan negara ini juga yang pertama buat Seri Paduka Baginda berdua bagi tahun ini dan juga sejak bulan Ogos 2019,” katanya.
Kali terakhir Seri Paduka berdua mengadakan lawatan negara ialah ke Indonesia selama empat hari, bermula pada 26 Ogos 2019.
“Ekoran daripada gelombang penularan wabak COVID-19 bermula pada awal tahun 2020, lawatan-lawatan negara yang telah dijadualkan pada tahun 2020 dan 2021 telah ditangguh,” katanya.
Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat melawat FNSS Defense Systems A.S di Ankara, manakala Raja Permaisuri dijadualkan berangkat melawat Muzium Goreme di Cappadocia.
Pada Khamis pula, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat melawat Turkish Aerospace Industries, Ankara manakala Raja Permaisuri pula dijadualkan berangkat melawat ‘Ankara Advance Technical Institute for Girls’.
“Pada hari yang sama, Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan mengadakan lawatan ke Perpustakaan Islam Diyanet di Ankara sebelum berangkat ke Istanbul,” katanya.
Pada sebelah malam pula, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Istanbul.
“Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Istana Dolmabahce Sabtu ini,” katanya.
Lawatan negara terakhir ke Turkiye oleh Yang di-Pertuan Agong adalah pada tahun 1992 yang ketika itu oleh Yang di-Pertuan Agong ke-9, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.
Beliau berkata lawatan negara itu melambangkan kepentingan, keakraban dan keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turkiye, sekali gus menyumbang ke arah mengukuhkan jalinan persahabatan kedua-dua negara yang terjalin sejak tahun 1964.
“Lawatan negara ini turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan juga terhadap kelestarian prestasi pelaburan dan kepentingan negara di Turkiye,” jelas Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.