Anwar Rakam Ucapan Takziah Atas Pemergian Bekas Emir Qatar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, serta seluruh kerabat diraja dan rakyat Qatar di atas pemergian ayahanda baginda, bekas Emir Qatar Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar memberikan penghormatan tinggi kepada Sheikh Hamad, menyifatkan baginda sebagai tokoh yang bertanggungjawab mengubah landskap Qatar menjadi sebuah negara yang mempunyai pengaruh besar di peringkat global sepanjang 18 tahun tempoh pemerintahannya.

Beliau menekankan bahawa di bawah kepimpinan berwawasan Sheikh Hamad, Qatar bukan sahaja mencapai kemajuan ekonomi yang amat luar biasa, malah berjaya muncul sebagai suara yang disegani dan berpengaruh dalam hal ehwal serantau serta antarabangsa.

“Keputusan baginda pada tahun 2013 untuk menyerahkan kepimpinan negara kepada generasi baharu merupakan satu tindakan kenegarawanan yang amat luar biasa,” ujar Perdana Menteri dalam hantaran tersebut.

Sambil menyifatkan Sheikh Hamad sebagai sahabat teguh kepada Malaysia dan tokoh yang amat dihormati di seluruh dunia Islam, Anwar turut mendoakan kesejahteraan roh baginda.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh baginda serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga diraja dan seluruh rakyat Qatar dalam menghadapi saat-saat penuh dukacita ini. Al-Fatihah,” kata beliau.

Terdahulu, Istana Amiri Qatar mengumumkan bahawa Sheikh Hamad telah mangkat pada pagi Ahad pada usia 74 tahun.

Allahyarham Sheikh Hamad memerintah Qatar dari tahun 1995 sehingga 2013, sebelum mengambil keputusan untuk menyerahkan tampuk pemerintahan negara kepada puteranya, Sheikh Tamim.

— BERNAMA

Exit mobile version