
Beratus-ratus kanak-kanak Palestin yang kehilangan tempat tinggal berhimpun di Sekolah Turki di Bandar Gaza pada Khamis bagi merayu kepada masyarakat dunia agar menjamin hak asasi mereka terhadap pendidikan, kesihatan dan keselamatan menjelang sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia.
Perhimpunan solidariti itu diadakan di perkarangan sekolah berkenaan yang turut menjadi lokasi keluarga pelarian berteduh di khemah-khemah berhampiran bertujuan menarik perhatian dunia terhadap kesan mendalam dari segi kemanusiaan, psikologi dan pendidikan akibat perang berterusan Israel ke atas golongan kanak-kanak yang membesar di wilayah terkepung itu.
Halaman sekolah tersebut dihiasi dengan bendera Palestin dan Türkiye serta sepanduk Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH), manakala kanak-kanak yang hadir mengenakan pakaian tradisional Palestin bersulam, keffiyeh dan pakaian seragam sekolah.
Para peserta turut mempamerkan plakad serta lukisan dalam pelbagai bahasa yang menyuarakan tuntutan mereka bagi mendapatkan perlindungan selain hak untuk menikmati pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan serta kehidupan yang bermaruah.
Acara tersebut diisi dengan penyampaian ucapan, nyanyian lagu dan persembahan pentas yang menyaksikan kanak-kanak berkenaan merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya berdiri teguh bersama mereka dan tidak melupakan penderitaan yang ditanggung.
‘Jangan Lupakan Kami’
Seorang pelajar Palestin, Maria Daher memberitahu Agensi Anadolu bahawa beratus-ratus kanak-kanak menuntut ilmu di Sekolah Turki sambil menetap di khemah-khemah pelarian di sekitar kawasan itu.
“Kami menghantar mesej kepada dunia supaya melihat sendiri siapakah kanak-kanak Gaza. Mereka adalah kanak-kanak yang serba kekurangan, kanak-kanak yang kelaparan, kanak-kanak yang menderita kesejukan dan kehilangan segala-galanya.
“Kanak-kanak Gaza hanya mahukan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kehidupan yang bermaruah.
“Kanak-kanak Palestin berhak untuk hidup dalam keadaan selamat dan bebas, manakala kanak-kanak Gaza berhak untuk belajar, bermain dan menjalani kehidupan dengan aman. Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia ini, janganlah lupakan kami,” katanya.
Kanak-Kanak Terus Dambakan Keselamatan
Sementara itu, seorang guru Palestin, Nahla Shehab berkata kepada Agensi Anadolu bahawa beratus-ratus kanak-kanak terlantar yang tinggal di khemah berhampiran sekolah tersebut telah menyertai perhimpunan berkenaan.
“Kanak-kanak ini telah menempuh keadaan yang amat perit sejak tiga tahun lalu, termasuk berdepan pengeboman, kebuluran, ketakutan serta perampasan hak asasi kanak-kanak mereka yang paling asas.
“Hari ini, mereka memandang dunia dengan penuh harapan, menatap ke arah sinar kebebasan dan hari esok yang lebih cerah, dengan harapan suatu hari nanti dunia akan mempedulikan hak-hak mereka,” ujarnya.
Shehab turut menekankan hak mutlak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan, kesihatan, keselamatan serta kehidupan dalam persekitaran yang terjamin, sambil menyuarakan keyakinan bahawa mereka bakal menjadi pemimpin dan penyumbang masa depan kepada masyarakat meskipun melalui pengalaman pahit peperangan.
Untuk rekod, Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut pada 20 November setiap tahun.
Pada Khamis, Kementerian Pendidikan Palestin memaklumkan bahawa lebih 21,000 kanak-kanak telah terbunuh di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 akibat perang genosid Israel, manakala puluhan ribu lagi mengalami kecederaan.
Secara keseluruhan, sejak Oktober 2023, perang genosid Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 74,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 orang—majoritinya golongan wanita dan kanak-kanak—selain memusnahkan kira-kira 90 peratus daripada infrastruktur di wilayah berkenaan.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)