
Kawasan tenggara Australia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan amaran gelombang haba ekstrem yang disifatkan paling buruk dalam tempoh enam tahun. Biro Meteorologi (BoM) melaporkan pergerakan jisim udara panas ke arah timur menyebabkan suhu dijangka melonjak melebihi 40 darjah Celsius di beberapa negeri utama.
Antara kawasan yang terjejas teruk termasuk Australia Selatan, Victoria, New South Wales (NSW), Tasmania dan Wilayah Ibu Negara Australia (ACT). Ramalan kaji cuaca menunjukkan suhu di Melbourne dan Adelaide bakal mencecah paras 41 darjah Celsius pada hari Rabu. Sementara itu, ibu negara Canberra dan bandar raya Sydney dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan dengan suhu konsisten melebihi 30 hingga 35 darjah Celsius selama empat hari berturut-turut.
Pakar meteorologi kanan BoM, Dean Narramore, menjelaskan bahawa lonjakan suhu ini adalah luar biasa, dengan sesetengah kawasan mencatatkan peningkatan sehingga 16 darjah Celsius melebihi purata biasa. Situasi ini mengingatkan kembali kepada keadaan cuaca ekstrem yang melanda negara itu pada musim panas 2019-2020.
Susulan itu, amaran kesihatan tahap tinggi telah dikeluarkan. Orang ramai, khususnya kumpulan berisiko seperti warga emas, bayi, wanita hamil, dan individu dengan masalah kesihatan kronik, dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan komplikasi akibat strok haba.
Sumber: BERNAMA-Xinhua